Tak Suka Popular!
CATATAN PENA WARTAWAN
(oleh M.F Kencana)
Mengapa kini manusia (terutamanya remaja) terlampau ghairah mengejar populariti? Semua sibuk ingin menjadi artis kononnya ingin popular dan terkenal. Fenomena ini jika tidak dibendung, dalam jangka masa 20 tahun akan datang, negara akan mengalami masalah besar yang melibatkan kekurangan golongan profesional dalam bidang-bidang kritikal.
Kewujudan terlampau banyak program bercorak hiburan akan mendorong golongan muda menjadi ‘malas’ berusaha dari bawah untuk mencapai kejayaan. Dalam hati mereka sudah ditanam sikap ingin glamor dan ingin ‘cepat kaya’. Hakikatnya, mereka tidak tahu apa yangberlaku disebalik dunia yang mereka pilih.
Mudahnya menjadi artis
Jika anda wanita, rupa paras yang manarik dan potongan badan yang cantik sudah memadai. Kelulusan SPM tidak diperlukan? Lihatlah dunia lakonan sekarang. ASWARA setiap tahun melahirkan graduan yang berkualiti. Tetapi ramai pelakon yang tidak mempunyai kelulusan yang sempurna, dengan mudah berjaya ‘memikat’ pengarah untuk berlakon. Bagaimana pula nasib golongan pelajar yang bersusah payah menghabiskan masa, keringat dan wang ringgit mereka untuk belajar bidang yang mereka minat? Malah dengan mudah pula individu yang ‘kurang tahu apa-apa’ dalam bidang yang mereka ceburi tiba-tiba dengan bangganya berada di kaca TV.
Saya lebih gemar menjadi penulis. Malah, saya sendiri banyak menggunakan nama pena sebagai samaran kerana enggan dikenali. Lebih baik menjadi seorang penulis, menjadi wartawan di sebalik dunia hiburan. Kita hanya menulis cerita berkaitan hiburan.
Suatu hari, saya bertanya kepada artis terkenal. Katanya, "susah jadi popular, mana je kita pergi orang perhati. Nak buat apa-apa benda pun susah. Kalau buat baik, orang kata saja tunjuk baik. Buat jahat memanglah salah. Depan orang je kita tunjuk gaya, cantik. Tapi, belakang siapa tahu? Duit bukan selalu masuk. Terpaksa makan biskut. Makan mi segera"
BEZA ARTIS DULU DAN KINI
Zaman lampau, kebanyakan artis yang kini sudah ada nama rata-rata mereka bermula dari bawah mengharungi jurang dan pengorbanan. Artis muda kini (segelintir), berada dalam ‘gelinciran’ kejutan budaya popular. Mereka masih muda, tiba-tiba terus berada ‘di atas’ bersama-sama ‘orang lama’. Mereka masih mentah dan tidak mempunyai pengalaman. Kadang-kadang, terkilan rasa hati bila membaca kisah-kisah artis muda yang mula tunjuk belang. Paling kelakar, ada tu baru saja dua tiga kali keluar TV, siap dah ‘pasang’ P.A. suatu hari, saya pernah duduk berborak dengan seorang artis veteran. katanya, "Dunia seni Malaysia ni kecil."
Kepada artis muda di luar sana, sebagai artis muda, anda perlu menghormati artis yang senior. Anda masih mentah, mereka ‘orang lama’ yang sudah banyak makan garam daripada anda.
"Siapa Makan Cili, Dialah Terasa Pedas"
 
 













